Rabu, 30 Mac 2011

Gout love lelaki





Gout adalah sejenis penyakit yang dicirikan dengan kesakitan dan pembengkakan sendi yang berulang, khasnya berlaku di kalangan kaum lelaki muda atau pertengahan tahun. Ia biasanya bermula dengan satu sendi pada satu masa dan lazimnya sendi pada tapak ibu jari kaki. Paras asid urik dalam darah adalah tinggi dalam gout. Hal ini merupakan akibat daripada ketidakupayaan kimia badan mengendalikan purin, iaitu satu sebatian nitrogen yang penting untuk tenaga. Purin boleh terbahagi kepada endogenus (disintesis dalam nukleus sel badan manusia) atau eksogenus (diperolehi dari makanan). Titik akhir metabolisme purin ialah asid urik yang dihasilkan dalam hati. Kebanyakan asid urik dikumuhkan oleh ginjal melalui air kencing manakala sebahagian pula disingkirkan melalui usus. Proses-proses tersebut mengekalkan paras asid urik dalam lingkungan yang normal. Namun begitu, dalam keadaan tertentu, badan menghasilkan terlalu banyak atau menyingkirkan terlalu sedikit asid urik dan seterusnya mengakibatkan paras asid urik yang tinggi dalam darah. Dalam gout, hablur natrium urate termendak pada dan di sekeliling sendi serta tisu lembut dan menyebabkan kesakitan serta keradangan. Hablur-hablur ini juga boleh berkumpul dalam ginjal dan mengakibatkan batu karang urate malah kerosakan ginjal.

Untuk Informasi Lanjut, Sila Klik Sini.....
  1. Peningkatan penghasilan asid urik.
  2. Ini mungkin disebabkan oleh:
      v Faktor keturunan tertentu yang mengakibatkan penghasilan purin yang lebih      banyak v Sesetengah penyakit darah yang melibatkan peningkatan pemecahan sel,     sesetengah penyakit kulit yang teruk dan sebagainya.
  3. Pengurangan penyingkiran asid urik.
  4. Ini mungkin disebabkan oleh:
      v Penyakit ginjal yang berterusan. v Sesetengah ubat yang diambil, misalnya diuretik. v Pengurangan penyingkiran air dari badan dalam sesetengah penyakit,     contohnya tekanan darah tinggi, kebuluran.
Tanda Dan Gejala - Gout Akut
Satu serangan akut bermula apabila terdapatnya peningkatan paras asid urik secara mendadak dalam darah. Apabila darah diuji, asid urik dalam darah didapati melebihi 420 milimol setiap liter (7mg setiap 100ml). Satu serangan akut boleh dicetuskan oleh berbagai-bagai faktor, misalnya pengambilan purin yang tinggi dalam diet, penggunaan alkohol yang berlebihan, tekanan, jangkitan, kecederaan sendi dan sesetengah jenis rawatan.
v Serangan adalah secara mendadak dengan kesakitan, kemerahan dan pembengkakan
    yang teruk, biasanya pada tapak ibu jari kaki. Tapak jangkitan lain yang kerap dipengaruhi
    termasuklah sendi kaki, pergelangan kaki, lutut, pergelangan tangan dan jari. Jika tidak
    dirawat, serangan boleh berterusan selama beberapa hari atau minggu dan berhenti secara
    spontan. Serangan boleh berlaku semula secara bulanan atau tahunan.

v Kemungkinan terjadinya loya, perut kembung dan kesakitan abdomen secara samar-
    samar.

v Pengumuhan air kencing yang lebih banyak dan kerap.
v Demam yang ringan mungkin terjadi.
Tanda Dan Gejala - Gout Kronik
Dalam kes yang kronik, hablur mononatrium urate termendak pada sendi , di sekeliling sendi, rawan telinga serta ginjal dan menyebabkan kerosakan yang berkekalan.
v Pemendakan pada rawan telinga boleh menyebabkan pembengkakan yang keras yang
    dikenali sebagai ‘tophi’.

v Pada sendi, kemusnahan rawan dan hakisan tulang boleh menyebabkan kesakitan,
    kekakuan serta kecacatan sendi.

v Kerosakan ginjal yang berterusan boleh menyebabkan pembentukan batu karang ginjal
    dan kegagalan ginjal.

Rawatan
Ubat Untuk Serangan Akut 
v Ubat anti-inflamatori bukan steroid
Ubat-ubat ini kerap digunakan untuk merawat serangan akut, misalnya diclofenac, indomethacin dan ketoprofen. Ubat-ubat ini diberi untuk melegakan pembengkakan dan kesakitan. (Catatan: Aspirin harus dielakkan kerana ia mengurangkan penyingkiran asid urik dari ginjal).
v Colchicine
Ubat ini adalah berkesan untuk rawatan gout akut. Bagi pesakit yang mempunyai gout kronik yang kerap mengalami serangan, perubahan sendi atau paras asid urik yang tinggi, rawatan untuk jangka masa yang panjang diperlukan.
v Corticosteroids
Ubat ini hanya digunakan apabila pesakit tidak dapat bertoleransi dengan ubat anti-inflamatori bukan steroid. Ubat ini hanya digunakan untuk tempoh yang pendek.
Ubat Untuk Rawatan Jangka Masa Yang Panjang
Ubat-ubat ini dicadangkan apabila pesakit mempunyai beberapa serangan gout akut atau apabila hiperurisemia adalah disebabkan oleh defisiensi sesetengah metabolik semulajadi.
v Ubat uricosuric, contohnya probenecid dan sulphinpyrazone
Ubat-ubat ini meningkatkan penyingkiran asid urik dalam air kencing dengan menghalang penyerapan semula asid urik dalam ginjal.
v Penyekat xanthine-oksidase, contohnya allopurinol-penyekat enzim
Allopurinol ialah ubat pilihan bagi pesakit tua dan pesakit yang mempunyai sejarah gangguan ginjal dan gout tophaceous. Ia menhalang pembentukan asid urik. Kedua-dua ubat tersebut tidak harus dimulakan ketika serangan akut tetapi beberapa minggu selepas serangan akut. Setelah dimulakan, ia harus diteruskan untuk mencegah serangan yang seterusnya.
Amalan Yang Baik
v Kurangkan pengambilan protein dalam diet, misalnya kekacang, bijiran dan daging merah.
v Makan makanan yang kurang mengandungi purin, misalnya daging organ (hati, ginjal,
    otak, jantung, pankreas), ekstrak daging, angsa, itik, ayam belanda, telur ikan, sardin dan
    ikan hering.

v Kurang minum bir, teh dan kopi.
v Hadkan pengambilan lemak, khasnya golongan yang obes. 
v Minum air yang banyak (8 gelas sehari) untuk membersihkan ginjal.
v Jangan mengamalkan diet pengurangan berat badan secara mendadak. Kekalkan berat
    badan yang sihat.
Faktor Risiko Bagi Gout
v Kaum lelaki- kaum lelaki merangkumi lebih daripada 90% pesakit gout.
v Sejarah keluarga- 10-20% pesakit mempunyai sejarah keluarga gout.
v ObesitI (kegemukan)
v Hipertensi (tekanan darah tinggi)
v Penggunaan alkohol
v Prevalen adalah lebih tinggi dalam komuniti bandar berbanding dengan luar bandar.

FAMILY DAIT ASSOCIATION

PERSATUAN  KELUARGA  NANAKAN DI AKI  DAIT




PENGHARGAAN

Pihak FGD ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Aki Saang, Mantan KK Jukin Kurum Jawah, Aki Kumbang Jawah, Mentan KK Badul Tiki dan beberapa individu yang membantu/terlibat secara langsung atau tidak lansung dalam menyempurnakan matlamat pengumpulan maklumat dan seterunya penghasilan profil dan sejarah tentang asl usul keturunan keluarga Dait. Kerjasama semua pihak amat FGD hargai dan kami ucapkan jutaan terim kasih.

PENDAHULUAN

          Tujuan kajian asal usul keturunan keluarga Dait adalah, untuk mengenal pasti salasilah keturunan, juga keluarga Dait berasal daripada kampung Ta’asapu dan berbangsa dusun Tompulung dan Turavid.

          Ta’asapu adalah kawasan perkampungan awal bagi suku kaum asal Telupid. Juga merupakan asal-usul perkampungan nenek moyang yang mereka warisi secara turun-temurun. Sejarah telah membuktikan bahawa Kampung Ta’asapu merupakan salah satu penempatan awal suku Turavid dan Tompulung di Daerah kecil Telupid ini.

          Di dalam kajian ini juga menceritakan tentang kisah serta asal-usul Kampung Ta’asapu di mana sudah terdapatnya bukti-bukti awal pendudukan generasi awal dan yang diikuti oleh generasi yang seterusnya. Kandungan seterusnya menceritakan tentang geografi Kampung Ta’asapu yang mana menunjukkan penduduk Kampung Ta’asapu sangat arif tentang tanah yang menjadi tempat mereka bergantung hidup.

CARTA ORGANISASI FGD.

Carta Organisasi FGD akan di bentuk pada masa terdekat kelak.

LATARBELAKANG SEJARAH KEWUJUDAN ASAL-USUL SUKU KAUM ASAL KELUARAGA DAIT

      Suku kaum asal Dait pada asalnya dikenali sebagai suku kaum Tompulung dan Turavid. (Turavid terbahagi kepada dua iaitu Turavid Tanda iaitu yang asli dan Turavid Tupo yang dikatakan bukan asli.) Suku kaum ini dikatakan tinggal di sebuah kawasan terpencil di dalam daerah Telupid. Ia terletak jauh dari seberang Sungai Labuk yang dikenali sebagai Ta’asapu. Ia merupakan kawasan penempatan asal suku kaum tersebut sebelum Kg.Wonod wujud.  Dikatakan penempatan Ta’asapu agak luas dengan penduduk yang agak ramai dan tinggal secara berselerak. Perjalanan ke Ta’asapu dikatakan lebih kurang 12 km dari tepi Sungai Labuk. Sehingga kini kewujudan  masyarakat ini di Ta’asapu masih menjadi misteri, bila dan bagaimana mereka berada di kawasan tersebut tidak diketahui. Dokumentasi secara bertulis mengenai kewujudan mereka adalah terhad kepada catatan lisan memandangkan kajian mengenai kewujudan kaum ini belum pernah dilakukan oleh mana-mana pihak dari sudut antropologi.
       Penduduk Ta’asapu dikatakan diperintah oleh Kerajaan Sultan Sulu sebelum kedatangan Inggeris. Apabila orang-orang Inggeris mengambil-alih pemerintahan, penduduk Ta’asapu telah dipaksa berpindah ke tempat lain atas alasan kesukaran perhubungan. Kawasan baru tersebut dikatakan memudahkan perhubungan dan pentadbiran Inggeris di mana ia terletak di tebing Sungai Labuk atau dikenali dalam bahasa tempatannya Sungai Livagu. Penempatan baru itu dikenali sebagai Kg. Wonod (sangkarata) kawasan sungai Labuk.
       Sekarang berpinda ke kawasan darat (kawasan jalan raya) dan kebanyakan suku kaum ini kini tinggal di Kampung Wonod (Batu 8), Kampung Tapa’ang (Batu 6), dan Kampung Telupid (Batu 4) dan Kampung Gading di Pekan Telupid . Malah ada yang telah berhijrah lebih jauh seperti di bandar dan daerah lain.

RUTIN DAN BUDAYA

 (a).     Kehidupan harian masyarakat Turavid dan Tompulung seperti suku kaum asal yang lain adalah bersifat tradisional dan mudah. Rutin masyarakat lebih bersifat memenuhi keperluan harian kehidupan mereka seperti melakukan aktiviti pertanian tradisional, memburu, menangkap ikan dan mencari sumber atau bahan semulajadi di dalam hutan yang mempunyai nilai-nilai perubatan atau sumber makanan. Masyarakat ini seperti suku kaum asal yang lain sangat rapat dengan alam semulajadi memandangkan hutan merupakan sumber mata pencarian semulajadi yang sangat penting.
       Aktiviti pertanian merupakan aktiviti yang sangat penting kerana ia menyediakan sumber makanan yang berterusan. Sistem pertanian iaitu menanam padi huma (bukit) atau dalam bahasa tempatannya Duma dijalankan secara berpindah-randah. Aktiviti ini telah menyebabkan keluasan Ta’asapu semakin membesar. Jenis-jenis padi yang biasa ditanam pada masa itu ialah bangkou, lumusiu, tadong kowili, dudumpok, pu’ulutan, babas, turokin, tutumo dan banyak lagi. Selain padi, terdapat juga sayur-sayuran yang ditanam seperti tuntu mundok (pucuk ubi kayu), sansam (bayam), tuntu sangop (pucuk timun), budui (tembikai kampung), batad (jenis timun), tavadak(labu kundur), kalalang ( labu ), torudui (kacang panjang), radak (keladi), bajag (ubi manis), mundok (ubi kayu) dan sebagainya. Penanaman buah-buahan tempatan juga menjadi sumber makanan yang penting. Dikatakan terdapat banyak jenis buah-buahan yang ditanam oleh masyarakat Ta’asapu pada ketika itu dan juga tumbuh secara semulajadi. Buah-buahan yang biasa dimakan seperti buah durian (lampun, mara’ang, dalit, sukang, ru’ujan, sogonggot dan sebagainya), rambutan (rangalau, manggalin, tojip, mongitom, kolukut, montomisan dan sebagainya), langsat, tampui ( pugi, babata, babata timbang, toborus), asam gelugor (liposu), popotung, soropit, soronsob, pinang (tinggaton), tarap (timadang), nangka (nangko), cempedak (pulutan), longan (mombu) dan bermacam-macam lagi. Malah dipercayai masih terdapat pokok buah-buahan yang masih wujud di Ta’asapu dan penempatan baru, Komansi sehingga kini.
        Masyarakat Ta’asapu juga mahir dengan aktiviti memburu.  Kawasan Ta’asapu yang pada ketika itu masih dilitupi hutan tebal merupakan kawasan yang kaya dengan sumber fauna yang menjadi sebahagian daripada pemakanan masyarakat Ta’asapu. Penggunaaan senjata tradisional untuk memburu adalah seperti gatan, sopukdan valatik. Memasang perangkap untuk memburu juga dilakukan seperti  tavos, goub, tinombuvu (perangkap monyet), solik dan sungul (perangkap tupai), dungkiu, togopon dan lain-lain lagi. Haiwan-haiwan yang biasa diburu adalah seperti bakas (babi hutan), payou (rusa), kalasiu (tembadau), palanuk (pelanduk), tandadang(kijang), vutun (landak), vongkutung (tenggiling), jenis-jenis ular         ( lopung, masalong, bolinatong, tomumo, masak punti), monyet, burung-burung ( bangkavod, porogom, boulun, sungang, likap, kolongtikung, surukan, gotubou dan sebagainya)

         Aktiviti menangkap ikan juga tidak kurang pentingnya memandangkan terdapat banyak sungai dan anak-anak sungai di Ta’asapu selain sungai utama iaitu Sungai Labuk.  Sungai-sungai yang terdapat di Ta’asapu adalah seperti Marawali, Toliliou, Tololobou, Ta’asapu Tagajo dan Ta’asapu Topoyok, Lopung, Diongkit, Lalabok danBarasan. Dikatakan kebanyakan sungai-sungai  tersebut kaya dengan ikan-ikan yang menjadi sumber protein utama masyarakat Ta’asapu. Ikan-ikan yang menjadi kegemaran adalah seperti berikut garap, makalou, sopong, tavi, tavaan, lontong, rolou, balasayan, matulang, butol dan banyak lagi.

         Hutan merupakan elemen penting di dalam kehidupan masyarakat asal Ta’asapu. Mereka sangat menghargai hutan sebagai tempat yang banyak menyediakan sumber yang sangat bernilai seperti rotan, makanan dan ubat-ubatan. Rotan merupakan sumber semulajadi yang banyak memainkan peranan penting di dalam kehidupan harian masyarakat ini. Kegunaan rotan untuk membina rumah, membuat bakul, tikar, perangkap haiwan dan sebagainya adalah penting kerana ia merupakan sebahagian elemen kemahiran yang wajib. Jenis-jenis rotan seperti saga, sumuliu, pudos, kolinogi, koviton, dobur dan tomburijagang biasa terdapat di dalam hutan pada masa itu. Selain rotan, sumber makanan yang terdapat di dalam hutan menjadi sebahagian diet penduduk berkenaan di mana kebanyakannya berasaskan tumbuh-tumbuhan seperti lomiding    (jenis pakis), tivak polod, tivak botu, koviton, tomboruva, doruk,  dan sebagainya. Begitu juga ubat-ubatan yang berasaskan tumbuhan banyak terdapat di dalam hutan.

KEAGAMAAN

         Masyarakat Ta’asapu pada awalnya tidak menganut sebarang agama rasmi. Mereka lebih banyak bergantung kepada kepercayaan yang dikenali sebagai Pagan  di mana pemujaan terhadap elemen-elemen alam semulajadi seperti pokok besar, batu besar, bukit-bukau dan gunung-ganang. Khidmat bomoh sebagai tempat memohon khidmat mengubati penyakit, menghalau roh-roh jahat dan sebagainya sangat signifikan di dalam masyarakat ini. Terdapat satu upacara yang biasa dilakukan oleh masyarakat ini pada masa itu adalah upacara alum-rami iaitu pemujaan untuk menghiburkan roh-roh sebagai tanda terima kasih ke atas hasil-hasil padi yang di tuai. Ia dilakukan selepas sahaja musim menuai padi selesai atau dikenali sebagai kokotuan.
         Tradisi pengkebumian pada masa itu agak terpencil keadaannya kerana sekiranya berlaku kematian, hanya ahli-ahli keluarga terdekat sahaja yang akan menjalankan pengkebumian. Jika anak dalam keluarga meninggal dunia, hanya ibu bapa dan adik-beradik yang akan menanam mayat anak tersebut tanpa kehadiran orang lain. Tidak terdapat kawasan perkuburan yang khusus pada masa itu di mana setiap jenazah hanya akan dikebumikan di kawasan yang berdekatan dengan rumah malah ada yang ditanam di bawah rumah. Bagaimanapun, jenazah akan di masukkan ke dalam keranda sebelum dikubur. Tanda-tanda perkuburan dikatakan masih wujud di Ta’asapu cuma kesannya agak sukar ditemui disebabkan dilitupi hutan dan semak-samun yang tebal. Selepas berpindah ke Kg. Wonod, @ sangkarata kewujudan tanah perkuburan yang khusus telah dilaksanakan yang dikenali sebagainapuahan mengis dan perkuburan batu 6.

SISTEM PENTADBIRAN

       Sepanjang kewujudan masyarakat Ta’asapu, di mana sebelum Sabah merdeka di dalam Malaysia, mereka dikatakan diperintah oleh Kerajaan Sultan Sulu dan seterusnya oleh Kerajaan Inggeris. Tidak banyak catatan mengenai kehadiran kedua-dua pemerintah ini memandangkan Ta’asapu terletak jauh di pedalaman yang menyukarkan perhubungan di mana pusat pemerintahan utama waktu itu terletak amat jauh. Pusat pemerintahan Sultan Sulu berada di Pulau Sulu dan Inggeris pula di pesisir pantai di Sandakan pada ketika itu. Namun menurut sumber yang diceritakan, wakil-wakil kedua-dua pemerintah pernah mengunjungi masyarakat Ta’asapu bagi tujuan pemantauan atau mengutus arahan pihak atasan.
        Pada am-nya, masyarakat Ta’asapu sendirinya mempunyai sistem pentadbiran yang mudah dan ringkas. Masyarakat Ta’asapu diketuai oleh seorang pemimpin yang dikenali sebagai “Orang Tua”. Nama-nama pemimpin yang sempat dicatatkan secara lisan di Ta’asapu adalah seperti OT Mavid, dan OT Asag. Yang menariknya ada beberapa pemimpin tersebut dikatakan berketurunan Iban. Mereka dikatakan datang ke Ta’asapu selepas dibawa oleh pemerintah Inggeris untuk menjadi askar yang bertugas dan berkhidmat di Sabah yang pada waktu itu dikenali sebagai British North Borneo Chartered Company.  Hanya selepas berpindah naik ke kawasan Kg. Wonod barulah pemimpin kaum asal Ta’asapu yang pertama dilantik iaitu KK Matulang, KK Jukin Kurum Jawah,  KK Giswa Suraman dan KK Taikong Gawah. ( OT-Orang Tua / KK-ketua Kampung). Peranan mereka adalah untuk memimpin dan membantu di dalam menyelesaikan masalah-masalah yang biasa wujud di kalangan penduduk kampung.

PENGHIJRAHAN

       Penghijrahan masyarakat Ta’asapu jarang berlaku kerana pengetahuan mengenai dunia luar sangat terhad dan jarang menerima kehadiran orang-orang asing. Hanya kehadiran wakil-wakil pemerintah Sultan Sulu dan Inggeris sahaja yang pernah datang melawat . Terdapat cerita mengenai kehadiran suku kaum lain yang datang hanya untuk tujuan merampas dan mengganggu ketenteraman penduduk Ta’asapu. Suku kaum yang dimaksudkan ialah suku kaum Dumpas yang datang dari kuala sungai Labuk yang dikatakan suka merampas dan merosakkan hasil tanaman penduduk kampung. Terdapat juga suku kaum lain yang hidup berjiran di sekitar Ta’asapu seperti Sukang, Sogilitan, Kuruli, Sogo-sogo dan Pauh. Begitu juga kehadiran kaum Iban dari Sarawak yang diperintah oleh Raja Brooke pada masa itu. Kaum Iban dijadikan askar berkhidmat bagi pemerintah Inggeris. Memandangkan sejarah yang tercatat menyatakan kedua-dua Sabah dan Sarawak pada waktu itu merupakan jajahan pemerintahan orang-orang Inggeris maka tidak hairanlah berlaku perhubungan politik yang akrab.
        Selepas berpindah ke Komansi dan Sangkarata (Kg.Wonod), generasi baru mula membuka pemikiran mereka apabila mendengar cerita-cerita tentang dunia luar. Terdapat sebilangan penduduk mula berhijrah ke tempat jauh seperti Bantun dan Kalagan di daerah Beluran untuk bekerja mencari nafkah. Oleh kerana jalanraya masih belum wujud, penduduk yang berhijrah  akan menggunakan perahu dan melalui jalan sungai utama iaitu Sungai Labuk.
        Selepas lebih kurang 50 tahun kewujudan penempatan Sankarata, penduduk berpindah lagi ke kawasan seberang sungai Labuk yang lebih tinggi yang kini dikenali sebagai Kg.Wonod Telupid. Ini berlaku apabila Sabah mencapai kemerdekaan melalui Malaysia, projek pembangunan mula giat dijalankan. Telupid tidak terkecuali apabila satu kawasan telah diwujudkan sebagai stesyen perhentian sebuah projek yang dikenali sebagai M.A.R.P (Malaysian-Australian Road Project)  untuk membina sebuah jalanraya utama bagi menghubungkan Kota Kinabalu di Pantai Barat dan Sandakan di Pantai Timur. Kemudahan pembangunan ini telah menarik minat penduduk Sangkarata (Kg.Wonod) dan Komansi memandangkan ia memudahkan perhubungan dan menyediakan peluang pekerjaan. Akibat perpindahan itu juga telah menyebabkan banyak Kampung di sepanjang sungai Labuk ditinggalkan.
        Walau bagaimanapun, masyarakat Tompulung dan Turavid masih tetap melawat penempatan asal di Ta’asapu. Walaupun berada di kawasan baru iaitu Kg. Wonod (Telupid). Ada di antara mereka masih tetap menjejakkan kaki ke kampung-kampung lama seperti Sangkarata,  Ta’asapu dan Komansi untuk tujuan memburu, menanam padi dan melawat tanah perkuburan khususnya perkuburan di Sangkarata dan Bilai di Komansi yang masih wujud sehingga kini.

PENDIDIKAN

      Masyarakat Ta’asapu pada am-nya mengamalkan pendidikan secara tidak rasmi iaitu belajar melalui pengalaman. Ia lebih bersifat kemahiran hidup di mana setiap kemahiran akan diturunkan oleh ibubapa kepada anak-anak. Kemahiran seperti memburu, menangkap ikan, memasak, bertani dan sebagainya.
      Selepas berpindah ke Kg. Wonod, pendidikan bagi tujuan mendidik masyarakat Kg. Wonod  untuk mahir membaca, menulis dan mengira masih belum wujud. Pendidikan yang dikatakan pernah dilakukan oleh pemerintahan orang Inggeris ialah pendidikan agama Kristian di mana rahib-rahib wanita dihantar ke kampung-kampung untuk tujuan memberi rawatan percuma kepada masyarakat tersebut. Di mana sambil memberi rawatan, rahib-rahib akan memberi didikan ilmu keagamaan berkaitan dengan agama Kristian dan dikatakan Anglicanmerupakan denominasi pertama sampai kepada masyarakat di Kg.Wonod (Telupid). Nama Sister Nordam danSister Hobbey merupakan dua orang rahib Anglican  yang pernah berkhidmat di Telupid (Komansi) sebagai jururawat sukarela.  Kedua-dua wanita Inggeris ini serba-sedikit telah membuka minda orang-orang di Dearah Telupid ini dan kedua-dua mereka ini masih menjadi sebutan di kalangan masyarakat asal Telupid sehingga hari ini.
       Selepas beberapa tahun apabila Sabah menjadi sebahagian daripada Malaysia, maka telah diwujudkan sebuah sekolah kerajaan yang pertama yang dikenali sebagai GPS- Government Primary School. Ia merupakan sekolah rendah kerajaan yang pertama pernah dibina di Komansi sekitar selepas tahun Sabah diisytiharkan merdeka melalui Malaysia. Ia bertujuan untuk mendidik anak-anak muda untuk menguasai 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Keadaan sekolah pada waktu itu dibina daripada kayu-kayu, atap-atap daun dan papan.

BAHASA

     Bahasa yang digunakan oleh masyarakat asli Telupid hari ini dikenali sebagai dusun labuk secara am-nya. Ada juga yang mengatakan asal nama bahasa suku kaum Tompulung dan Turavid menurut kajian bebas dikategorikan sebagai Tombonuo. Jika diteliti dengan baik, kebanyakan perbendaharan kata dan cara sebutan bahasa mereka mempunyai banyak persamaan dengan bahasa etnik lain yang terdapat di Sabah seperti Dusun yang umum digunakan oleh masyarakat Dusun dari Pantai Barat Sabah dan Pedalaman Sabah seperti Tambunan dan Ranau. Begitu juga persamaan dengan bahasa Rungus, bahasa Sungai dan bahasa Kadazan.  Bagaimanapun mungkin telah berlaku asimilasi bahasa yang tidak diketahui bila berlaku kerana menurut orang-orang tua yang masih hidup, bahasa yang digunakan semasa di Ta’asapu amat jauh beza dengan bahasa yang digunakan oleh masyarakat asal di Telupid. Ia dikatakan lebih sukar difahami oleh generasi baru.

 LAGENDA DAN MITOS

Setiap masyarakat aali mempunyai lagenda dan mitos yang unik dan tersendiri. Masyarakat Ta’asapu mempunyai beberapa lagenda dan mitos yang telah diceritakan secara lisan dan masih diperkatakan sehingga kini. Berikut adalah yang masih popular dan signifikan.

(a). Lagenda Aki Lampau, Aki Korutik dan Aki Lunsiu antara yang sering diceritakan oleh orang-orang tua. Mereka ini adalah tiga bersaudara yang berketurunan Tompulung. Mereka ini dikatakan pahlawan atau dalam bahasa tempatannya dipanggil “Ba’ani” bermaksud berani dan handal. Kehandalan tiga bersaudara ini dikatakan memiliki kehandalan luar biasa dan sakti.  Aki Lampau sebagai ketua dikatakan tidak memerlukan sebarang senjata untuk memburu kerana mampu mengejar dan menangkap haiwan buruan seperti babi hutan dengan tangkas dan pantas. Mereka juga dikatakan boleh pergi ke satu tempat dengan sekelip mata dengan hanya melangkah sekali sahaja. Memanjat pokok dengan hanya terbang seperti burung. Mereka juga dikatakan pernah mengetuai satu peperangan dengan masyarakat Matupang di Daeah Ranau pada masa dahulu yang berpunca daripada seorang gadis. Masyarakat Turavid dan Tompulung di Telupid masih percaya bahawa kubur ketiga-tiga beradik ini masih wujud di Ta’asapu sehingga kini.

(b). “Botung Tagajo” atau bermaksud Danau Besar adalah cerita yang popular di kalangan masyarakat tempatan Telupid. Mitos cerita ini mengenai sebuah Danau Besar yang wujud di Ta’asapu sehingga kini yang penuh misteri. Ia sebuah danau yang luasnya dianggarkan 5 ekar dianggap keramat dan berpenunggu. Terdapat beberapa versi cerita yang menarik mengenai danau tersebut. Pertama, sebelum ia wujud terdapat sebuah kampung yang dihuni oleh satu masyarakat asli di kawasan tersebut. Namun pada satu malam, sebuah pesta telah diadakan dan kerana terlalu asyik dan mabuk, penghuni kampung telah mempermainkan haiwan peliharaan dan melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Ini telah mengakibatkan tuhan mereka sangat marah dan telah menenggelamkan kampung tersebut dan menjadikannya sebuah danau. Menurut cerita orang-orang tua, pada masa-masa tertentu danau tersebut akan bergoncang dan menggelegak di mana akan muncul barang-barang seperti tempayan, pinggan-mangkuk dan sebagainya.
         Versi lain mengenai danau ini ialah mengenai kisah seorang pemimpin handal pada masa dahulu yang ingin membina sebuah laut di tengah-tengah Ta’asapu namun setelah separuh jalan ia membatalkan niatnya dan pergi ke tempat lain untuk meneruskan rancangannya. Danau yang wujud itulah peninggalan usaha yang tidak selesai.
         Terdapat dakwaan bahawa danau tersebut sukar ditemui sekiranya seseorang bertujuan untuk mencarinya. Ia dikatakan dilitupi oleh akar-akar pokok dan semak-samun yang tebal dipermukaan danau di mana takungan airnya masih wujud di dasar. Ramai yang pernah menemui danau tersebut hanya secara kebetulan atau tersesat ketika pergi memburu. Mereka yang pernah menemuinya mendakwa pernah melihat pecahan pinggan-mangkuk dan tempayan yang diperbuat daripada besi dan tanah liat. Lagi menarik ialah cerita bagaimana seorang pemburu terlihat seekor babi hutan yang kebetulan berada di atas danau tersebut. Pemburu lalu membujak haiwan tersebut dan sejurus rebah ke tanah babi hutan tersebut serta-merta bertukar menjadi tajau.

(c). Satu lagi mitos ialah mengenai cerita “vaig tosogit”. Ia mengenai kisah sejenis wabak misteri yang melanda penduduk Ta’asapu. Ia dikatakan perbuatan roh-roh jahat dari alam lain yang ingin menghapuskan penduduk kampung dengan cara menyebarkan penyakit “vaig-tosogid”. Mereka yang diserang penyakit ini akan mati secara tiba-tiba tanpa diketahui punca kematian dan biasa menyerang ramai mangsa dalam satu masa.

TA’ASAPU MASA KINI

        Walaupun Ta’asapu telah lama ditinggalkan dan terbiar namun ia telah menjadi legacy dan lagenda yang masih signifikan kepada penduduk asal Telupid yang berasal daripada sana. Kewujudannya masih tetap dipercayai oleh masyarakat asal Ta’asapu. Malah nama-nama sungai dan bukit masih segar di dalam ingatan masyarakat Turavid dan Tompulung. Bukit-bukit yang menjadi sebahagian ikon geografi Ta’asapu seperti Bukit Sumobul,Barasan, Aki Lampau, Pinoruka dan Sobibindoi. Bukit-bukit tersebut dikatakan mempunyai cerita masing-masing yang unik dan mistik.
        Kini, sebuah Syarikat yang mengusahakan pertanian komersial kelapa sawit dipercayai telah menceroboh kawasan tersebut tanpa pengetahuan dan persetujuan masyarakat asal Ta’asapu. Akibat pencerobohan itu juga telah membawa kesan negatif ke atas tanah pusaka itu. Kerajaan tanpa usul periksa dan membawa berbincang mengenai status pemilikan tanah tersebut secara tidak adil telah menyerahkan hak pemilikan kepada syarikat tersebut iaitu Syarikat RibuBonus dan Syarikat Twin Acres.
         Tindakan itu juga telah menyebabkan kesan-kesan sejarah di Ta’asapu dan Komansi telah dimusnahkan secara membabi buta seperti kemusnahan hutan yang menjadi sumber ekonomi asli, bukit diratakan, kemusnahan sungai-sungai, kemusnahan kuburan nenek moyang, penebangan pokok buah-buahan dan pengeringan “Botung Tagajo” yang menjadi ikon kewujudan Ta’asapu. Bagaimanapun, terdapat cerita-cerita daripada saksi yang menyatakan tentang kejadian-kejadian ganjil yang berlaku semasa usaha mengeringkan danau tersebut.  Kejadian-kejadian seperti kematian dan diserang penyakit ganjil secara tiba-tiba ke atas pekerja-pekerja Syarikat yang diarah mengeringkan danau tersebut.

ASAL USUL NAMA KAMPUNG TA’ASAPU

          Nama Kampung Ta’asapu diberi kerana kawasan Ta’asapu sering dilanda banjir. Apabila musim tengkuju tiba di mana terdapat dua sungai utama yang akan naik atau banjir semasa musim hujan dan membanjiri Kampung Ta’asapu. Kedua-dua sungai tersebut dikenali sebagai sungai Ta’asapu Tagajoh (Sungai Ta’asapu besar)
Dan Sungai Ta’asapu Topoyok (Sungai Ta’asapu kecil).

          Semasa banjir tersebut, banyak harta banda musna seperti rumah, tanaman terutama sawa padi dan bayak lagi kemushanan akibat banjir tersebut. Dengan itu, kawasan tersebut di namakan Ta’asapu akibat banjir sungai Ta’asapu sehinggalah pada hari ini kawasan tersebut masih di panggil KAMPUNG TA’ASAPU.

SUMBER CATATAN

      Sumber cerita ini telah direkodkan daripada beberapa orang yang masih hidup. Mereka ialah Aki Saang Taneud, kini berusia 70an (Kg.Telupid), mantan KK Jukin Kurum Jawah, kini berusia 60an (Kg.Wonod), KK Badul, Tiki kini berusia  70an (Kg.Telupid), Encik Kumbang Jawah yang berusia 70an (Kg.Gading) dan beberapa individu yang membantu/terlibat secara langsung atau tidak lansung.
Menurut mentan  KK Badul Tiki, kini  dan Kumbang Jawah. Mereka sempat dan pernah bertemu dengan orang asal dari Ta’asapu yang bernama Yasag, Monduli, Doruk dan Lintun. Mereka ini dikatakan generasi akhir Ta’asapu yang sempat tinggal di penempatan baru, Komansi. Mereka adalah berketurunan suku Tompulung.